Makcik-makcik bakal berkumpul di dapur Mak S, ada keramaian, ada makan-makan petang nanti. jadi ada gotong royong memasak. Makcik-makcik cepat datang, tidak sabar mau membanting tulang membantu tuan rumah siapkan makanan yang sedap-sedap. aku pun cepat-cepat bawak pisau extra, siap dengan besen biru aku. sebab aku: Mak Emmah dan aku berumur 43 tahun.
Owh jangan lupa bawa anak-anak dara ku si Rara dan si Ruru. Ini lah masanya aku mau menunjuk yang aku sudah berjaya membesarkan dengan baik anak-anak dara ku ini. Serba-serbi mereka pandai. Manalah tau juga, Mak Z mahu temukan jodoh anaknya yang kaya raya tu dengan salah satu anak-anak ku ni.
Kejap-kejap bertandinglah semua makcik-makcik. Macam buat pertunjukkan anak-anak dara dan mungkin juga menantu masing-masing. Lirik mata masing melihat setiap pergerakan anak-anak dara, macam mencari silap, macam mencari kagum. Kalau-kalau ada silap, lepas gotong royong nanti boleh dijadikan ‘teladan’ untuk orang lain lepas diceritakan semula insiden-insiden yang dilirik-lirik ketika bekerja ini. Kalau ada yang nampak bagus saja sentiasa boleh dicakap-cakap juga.
sampai di dapur Mak S, aku cepat-cepat mula. aku kagum dengan tangan-tangan tangkas rakan-rakan, jiran-jiran dan saudara-saudara seangkatanku berkerja. Tangan-tangan berkedut, dengan urat yang sudah tersembul keluar; kudrat kami sudah kurang tapi tetap tangkas melakukan kerja yang memang sudah menjadi kebiasaan kami sebagai isteri-isteri orang, ibu-ibu orang. Kami potong-potong daging, siang ikan dan udang, kupas-kupas bawang.
kadang-kadang aku terasa macam kami sedang berlumba-lumba menghabiskan satu kerja dan meneruskan kerja yang lagi satu.kadang-kadang aku rasa macam kami sedang bertanding siapa lebih tangkas membuat kerja, siapa lagi pantas, siapa lagi cekap.kadang-kadang juga mata ku terpejam-pejam bila silau terkena pancaran bias cahaya matahari ke barang-barang kemas emas mereka-mereka yang sibuk bergoyang-goyang dek pergerakan pantas mereka bertungkus lumus bergotong royong.
yang kosong lehernya, yang tidaklah menarik jari-jemarinya dengan kilau-kilau mula malulah mahu menunjuk sangat tangan yang tangkas. Takut-takut ramai yang sedar tangan-tangannya kosong.
tapi aku suka keadaan seperti ini. sebab aku boleh tolong rakan, jiran, saudaraku dikala mereka perlu bantuan.sebab aku tau suatu hari nanti, aku bakal perlukan bantuan dari si tuan rumah dan mereka-mereka ini juga. sebab suatu hari nanti, aku pula mau buat majlis keramaian seperti ini. cuma akan aku pastikan majlis ku akan lebih hebat dari ini. Aku toleh kanan, toleh kiri. Aku pastikan aku nampak semua kelengkapan dan kesiapan majlis ini dengan terperinci supaya aku bole buat jadikan sebagai petanda berapa banyak aku perlu buat supaya boleh lebih dari ini.
Memang bagus untuk melihat, belajar dan memperbaiki. Mungkin tujuan sebenar melakukan keramaian pun sudah hilang. Tujuan sudah bertukar menjadi bertanding majlis siapa lagi besar, lagi meriah, lagi banyak duitnya habis untuk menjalankan majlis tersebut. Tapi tidak mengapa, kan ada kemajuan di majlis-majlis akan datang. Biarlah yang kurang berupaya tu pun merasa tertekan dengan jangkaan orang-orang lain kalau-kalau dia pun akan buat majlis yang lebih ‘mahal’ dari ini. sekurang-kurangnya dia akan merasa sempit sampai dia terpaksa cari jalan juga untuk ‘maju’. Bukan begitu? Gelak kecil.
Dan aku suka juga keadaan seperti ini kerana, di kala tangan pantas bertungkus lumus, mulut-mulut kami juga tangkas bercerita. Pasal si polan, si polan, si polan dan si polan. Kalau aku tak ikut gotong-royong macam ini, mana mungkin aku tau pasal semua polan-polan itu. Aku pun sekali bagi tau versi yang aku tau pasal cerita-cerita si polan-polan itu. Lepas aku bagi tau versi ku, si Mak K pulak sambung ikut versi yang dia dengar. Biar seperti bercanggah sedikit dari versi ku, kami akon kan saja. Kami buat andaian versi kami dua-dua betul tapi mesti ada sambungannya di perantaraan cerita-cerita itu.
Dan begitu lah bunga-bunga cerita mengikut versi masing-masing tercantum menjadi satu bunga besar. Nanti bila bunga besar ini sudah matang, dia keluarkan lah debunga-debunga yang banyak nya tidak terhingga, dan dengan bantuan angin-angin, akan berterbanganlah semua debunganya ke merata dunia, dan bercambahlah benih-benih bunga baru dan mekar lah cerita-cerita itu keseluruh dunia.
Indah kan perumpamaan bunga?
No comments:
Post a Comment