Sudah lama tidak duduk berkumpul dengan ‘kumpulan sokongan’ dan bertekak dengan apa juga topik yang sebenarnya tidaklah begitu hangat tapi dihangatkan oleh cakap-cakap murah kami sendiri.
Apa pun, Yod, ini dedikasi kerana kau kata kau tidak suka baca tulisan blog aku yang dikarang dalam bahasa Melayu. Hm… mungkin aku perlu tulis ia sebagai “kau tidak gemar…”. Boleh diterima pakai?
Aku pun rasa aku sudah terkesan daripada perbincangan tersebut sehingga, iya, aku rasa aku sedar aku mengelak daripada menulis dalam bahasa sendiri. Aku pun tidak tahu mengapa. Kalau sebelum ini aku boleh katakan bahawa aku menulis dalam bahasa Inggeris kerana aku ingin menambah bilangan kebarangkalian pembaca untuk blog aku. Tapi dalam beberapa tulisan sejak dua menjak ini, aku pun sudah tidak pasti akan niat sendiri.
Apa-apa pun, mari aku mulakan.
Bagi aku, bahasa Melayu/Malaysia ini sama saja dengan bahasa-bahasa lain. Ia dicipta oleh sebuah masyarakat yang memerlukan satu ‘alat’ untuk berkomunikasi sesama mereka di dalam masyarakat tersebut. Bahasa ini, seperti bahasa-bahasa lain, akan berubah mengikut masa, mengikut keperluan penggunanya yang terkini, mengikut keadaan persekitaran.
Kerana fakta ini saja, aku sudah boleh katakan bahawa bahasa Malaysia cukup untuk aku gunakan, untuk menyampkaikan apa saja mesej yang aku ingin sampaikan. Bahasa ini bukan bahasa cacat yang kekurangan.
Untuk menghakimi satu bahasa berdasarkan bahasa lain adalah tidak adil atau dipanggil dalam terma bahasa Inggeris: egocentric. Ah~ ya… inilah yang Yod cuba sampaikan. Mungkin bahasa kita punya bilangan kata yang kurang. Bahasa kita banyak meminjam perkataan dari bahasa lain. Ini aku agak setuju.
Tapi bukankah peminjaman kata dari bahasa lain itu biasa dalam mana-mana bahasa? *aku serius bertanya* Ini bertujuan untuk mengembangkan bahasa kita untuk mampu digunakan untuk memperkatakan perkara-perkara semasa dan mengikut arus perubahan.
Dan apabila kita meminjam dari bahasa lain, kita telah menukarkan terma tersebut menjadi bahasa Melayu. Bukankah sudah di kira kita berbahasa Melayu dengan menggunakan terma pinjaman itu? Ini pun aku agak setuju.
Tapi aku bangkang kalau yang dikatakan bahawa bahsa kita tidak mampu untuk mentrakrif atau mengolah sebuah pemikiran atau menerangkan satu keadaan sebagai contoh terma/konsep “HOTness” yang telah digunakan pada malam perbincangan.
Bagi aku, mungkin ini kerana terma ini tidak ada dalam budaya asal Melayu. Kita yang pada asalnya terkenal dengan kelembutan dan keayuan dan kejelitaan sopan santun tentunya tiada takrifan untuk hotness untuk wanita-wanita Melayu. Ini menunjukkan bukan salah bahasa ia tidak mampu menerangkan konsep hotness di mata kita sekarang.
Cuma salah sekarang kerana kita sudah mencari hotness dan bukannya kelembutan, keayuan, kesopanan dan kesantunan. Tapi itu sudah keluar dari topik mula—itu sudah bicara tentang topik masyarakat dan aku pun bukanlah orang yang layak untuk memperkatakan tentang ayu atau sopan. Aku cuma ingin menyampaikan hujah.
Atau mungkin saja takrif 'hotness' kita ialah --->MANTAP!! Ha...
Dan aku rasa sampai situ sajalah. Pengetahuanku cetek. Aku perlu tuntut lebih banyak ilmu tentang bahasa dan masyarakat. Tapi yang kita perlu ingat saja, bahasa itu satu alat komunikasi. Biar macam mana besarnya peranan bahasa Inggeris di dunia ini, bahasa kita layak terus hidup dalam kemahsyuran dan digunakan dengan bangga oleh bangsanya sendiri.
Sebenarnya aku ingin berterus-terang. Aku merasakan menulis teks kali ini agak mencabar kerana aku sudah terbiasa dengan terma bahasa Inggeris dan aku mendapati diriku berfikir dalam bahasa Inggeris dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Ini sungguh tidak bagus. Aku perlu lebih banyak praktis.
Ps. Ini tiada kaitan dengan topik pemansuhan PPSMI yang sudah hampir basi. Aku berada di tengah saja dalam topik itu. Kalau ada, adalah. Kalau tiada, tiadalah. Kita sebagai orang-orang bawah piramid di dalam sistem pendidikan tiada pilihan kecuali menjadikan yang terbaik dengan apa saja yang ada walau terhad mana pun. (ini aku cuba mengatakan: we just have to make the best out of anything)